Saturday, March 14, 2009

PMIUM DAN GERAKAN MAHASISWA






PMIUM kini telah menjangkau umur semakin tua dan matang seperti mana era kebangkitan mahasiswa yang lampau yang mampu menggugat kedudukan sesiapa sahaja yang menolak keadilan. Kini kebangkitan mahasiswa tidak akan berhenti setakat menghadiri demonstrasi menentang sebarang ketidakadilan tetapi mahasiswa perlu melangkah sejauh pandangan mata yang tidak dapat diteka dan dijangka. Mahasiswa terutamanya mahasiswa muslim perlu lebih kehadapan dalam mendepani masyarakat serta isu yang bermain di sekitar mereka. Namun, segalanya tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan juga kesatuan hati jua fikrah para mahasiswa yang bergelar muslim dan ‘merelakan’ diri mereka untuk mati serta hidup bersama islam, dalam perjuangan islam.

PMIUM sebagai wadah untuk mahasiswa muslim bergerak bersama-sama mendokong kegemilangan Islam sebagaimana yang kita tahu bahawa kepimpinan islam yang sejati bertitik tolak dari aqidah yang sahih serta kebergantungan yang total kepada Allah s.w.t dalam apa jua keadaan. Meskipun kini PMIUM ditekan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, namun kita sebagai pendokong agama Allah tidak boleh undur, lari hatta ingin mengensot sedikit pun dari jalan ini JANGAN! PMIUM adalah badan yang menggerakkan gerakan islam di kampus ini. Justeru, menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk sama-sama menerajui gerakan ini kea rah pembentukan ummah yang terbaik seperti yang seringkali di war-warkan.

Annual Grand Meeting PMIUM (AGM PMIUM) kali ke 49 pada hari ini memaparkan kisahnya yang tersendiri. Walaupun bukan keseluruhan ahli PMIUM yang hadir pada perhimpunan tahunan ini, namun refleksi daripada AGM dapat dirasai. Pelbagai lontaran idea yang dikongsi bersama hadirin terutama sekali yang menyentuh aspek dakwah dan terbiyah, gerakan mahasiswi dan siasah. Namun penumpuan perbahasan ucapan dasar daripada sidang mesyuarat yang hadir adalah berkenaan aspek dakwah dan tarbiyah. Kenapa 2 aspek ini yang menjadi ‘spot issue’ untuk diperkatakan? Tidak lain sebenarnya itulah peranan yang perlu dimainkan oleh PMIUM dalam membaiki ‘kegawatan’ dan kebejatan social yang berlaku dalam masyarakat khususnya di UM yang kita cintai ini.

PMIUM perlu memperkasakan dakwah kepada non muslim, mempelbagaikan metod pembawaan dakwah bukan sekadar orientasi program semata-mata tapi perlu turun kepada’ grassroot’ atau golongan untapped market secara konsisten. Berapa ramai golongan mahasiswa UM yang terlibat dengan gejala sumbang mahram yang seringkali kita dapat tengok “ wayang free” di Bukit cinta, tepi jalan-jalan yang xberlampu, dalam kolej sendiri dan sebagainya. Apa tugas kita sebagai ahli PMIUM yang mempunyai ‘title’ mahasiswa Islam tidak kira terlibat secara langsung atau pun tidak. Hal ini kerana ahli PMIUM akan menjadi batang tubuh yang mencorakkan gelombang dakwah di Universiti Malaya ini sendiri. Tidak terasa pedih, ngilu dan kecewa kah kita jika mahasiswa-mahasiswa yang juga merupakan sahabat seperjuangan kita di medan ilmu Uni Malaya ini masih jahil tentang solat, puasa, halal, haram dan seumpamanya?? Kita seringkali ingin boom isu-isu kenegaraan dan jarang juga tersasar tentang masalah social yang berlaku dalam UM ini. Jadi ayuhlah kita sama-sama mendokong perjuangan yang membawa manusia untuk mengenali Allah serta sunnah Nabi kerana sudah sewajibnya atas orang yang tahu menyampaikan kepada yang tidak tahu.

Jalan paling dekat ialah lebarkan sayap dakwah kita ke kolej-kolej kediaman yang sentiasa menjadi tempat paling strategic dan favourite untuk laksanakan program, sama ada baik atau buruk. Perkasakan hubungan dengan balai-balai Islam kolej kediaman seluruh Um untuk membawa agenda memartabatkan Islam di Uni ini.
Selain itu, dalam melahirkan kader-kader yang akan menggerakkan dakwah ini perlu kepada konsistensi dan penglibatan seluruh warga kampus dalam proses pentarbiyahan. Apa itu tarbiyah? Dalam bahasa Melayu ialah proses didikan. Manusia dididik sejak kecil bermula dari sebelum pembentukan manusia lagi. Bermula dari alam rahim kita telah dididik contohnya ibu-ibu perlu menjaga kesihatan badan dan membekalkan vitamin atau keperluan yang secukupnya untuk memastikan bayi yang lahir itu sihat. Dan seterusnya kealam dunia ini. Dari kecil hinggalah ke akhir hayat proses pentarbiyahan tidak akan berhenti.

Walaupun kita berada di lapangan ilmu yang pelbagai, hakikatnya sebagai muslim tugas kita sebenar adalah khalifah di bumi yang akan memakmurkan bumi ini dengan cahaya Islam dan menyebarkannya. Untuk itu dalam melahirkan mata rantai perjuangan Rasulullah ini perlu kepada sistem yang sentiasa mengikatnya pada perjuangan yang akan membawa kepada kegemilangan Islam. Oleh kerana itulah PMIUM yang membawa ’ body ‘ islam berusaha memberi kefahaman kepada seluruh warga kampus melalui siri-siri kuliah ilmu, program kepimpinan, usrah dan sebagainya. Usrah kelompok perlu diberi ruang untuk diperkasakan dari aspek pengisian, pembawaan dan praktikalitinya. Kesediaan untuk menjadi ahli gerakan Islam perlulah di’polish’ sejajar potensi yang ada pada mereka. Walaupun dalam kita berusaha memberi penghayatan Islam yang sebenar dalam membentuk peneraju gerakan kita tidak dapat lari dari halangan dan cabaran, tohmah dan fitnah, keji dan dusta. Semuanya perlu ditelan walau pahit, di gagahi walau ranjaunya masih panjang.

Kepimpinan silih berganti saban tahun, tidak kira siapa pun mereka, anggaplah ia adalah yang terbaik untuk ita dan merupakan ketetapan Allah kepada kita. Tahniah dan takziah kepada kepimpinan baru PMIUM sesi 2009/2010. Saudara Shazni, saudari Fasihah, Hafiz Ilyas dan Fahmi Saleh. Mudah-mudahan barisan kepimpinan yang lain yang akan dilantik akan sama-sama mendokong visi kea rah mengembalikan keizzahan islam di kampus. Semoga PMIUM kali ini akan terus tegar dalam memimpin generasi islam kini dan akan datang.

Namun ingatlah sama-sama kita selaku hamba Allah, kebergantungan serta kepautan hati pada-Nya tidak boleh sedetikpun alpa. Sama ada dalam duka, gembira, kecewa, susah atau senang. Segala-galanya akan bertambah indah apabila kita mengerti bahawa hidup ini adalah untukNya serta mati kita juga dalam kerinduan bertemu Nya.

Wallahu a’lam.

0 comments:



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes