Wednesday, January 20, 2010

Siapa guru??

Penulis terdetik memilih tajuk ini apabila timbul kesedaran bahawa suatu hari nanti hal inilah yang bakal di lalui dan 'title' inilah yang bakal dibawa sepanjang diizinkan Allah lagi-lagi bergelar guru agama atau ustaz/ah. Saya terkenang seorang guru yang mana sarat ilmu di dada, pernah mengajar matapelajaran Fikah di sekolah dahulu...

Sungguhpun Ustaz tersebut ada kekurangan fizikal iaitu bergen ' albino' yang menyebabkan pandangannya terbatas dan rambutnya putih serta kulitnya kemerahan dan pergerakannya jua penuh hati-hati. Hatta untuk melihat kitab perlu didekatkan matanya pada bahan bacaan. Apa yang mengagumkan saya ialah... " Ilmu itu di dalam dada, bukan di dalam perenggan..". Ini jua ungkapan rentetan daripada kuliah Tafaqquh Fiddin yang saya ikuti semalam yang cukup baik sekali. Kembali pada kisah Ustaz tadi. Dalam pembelajaran kami, beliau ingat setiap baris perkataan yang terkandung dalam kitab Fikah tersebut( yang saya lupa tajuk kitabnya apa). Hanya sesekali apabila terlupa pangkalnya akan dibukanya kitab itu dengan segenap keupayaan yang ada meskipun beliau seakan perlu merapatkan matanya pada helaian isi kitab tersebut. Ustaz tidak perlu lama-lama. Kerana semuanya berada dalam ingatan! Subhanallah...Apabila teringatkan hal ini juga saya teringat. Pernah sekali dua saya dan rakan sekelas terlewat masuk kelas tersebut. Kami secara senyap-senyap (kononnya) masuk kelas supaya tidak disedari Ustaz tentang kelewatan kami. Tapi... rupa-rupanya tidak. Pendengaran Ustaz begitu tajam. Beliau tahu kami kelewatan dan terus bertanya " Dari mana...".


Sungguh! Ilmu itu di dalam dada, bukan sekadar di dalam perenggan, ayat tapi biarlah ilmu itu mampu disampaikan kepada orang lain juga untuk kebaikan bersama. Siapa itu guru? Seorang yang sentiasa menyampaikan ilmu dan membimbing murid dan anak didiknya juga. Apabila ini didalami betul-betul, penulis berasa betapa besarnya peranan seorang guru pada generasi akan datang. Oleh itu seorang guru apatah lagi seorang guru agama perlu mempersiapkan pelbagai elemen ilmu dalam diri sebagai bekalan nanti. Alhamdulillah jua kerana masih lagi Allah bagi kesempatan untuk diri menimba seberapa banyak ilmu yang berada di bumi kampus ini. Dan Alhamdulillah jua kepada Allah yang memberi taufiq dan hidayah untuk diri sentiasa mencari dan menampung kekurangan diri yang ada.

Seorang guru jua bukan sekadar bercakap tetapi jua mendidik, menegur dan memperbetulkan sikap. Guru yang baik adalah yang mempunyai ciri kepimpinan. Guru yang tiada ciri kepimpinan akan sukar untuk menyampaikan pembelajaran kepada pelajar (seperti yang dinyatakan dalam kuliah Kepimpinan dalam Organisasi). Seorang guru perlu menjadi role model yang utama di sekolah tidak kira dari Pengetua, Guru Besar dan seterusnya. Guru yang berjaya jua ialah guru yang berjaya mempengaruhi pelajarnya melaksanakan pembelajarannya. Kebiasaannya ini adalah antara sifat guru yang disayangi pelajar iaitu apabila guru jua mempunyai perasaan kasih sayang dan ikhlas dalam mendidik dan mengajar.


Saya teringat sebuah lagi kisah yang pernah diceritakan oleh Ummi Usrah saya di sekolah dahulu iaitu suatu ketika di dalam dewan kuliah sebuah Universiti di luar negara, seorang 'Muallim' sedang berdiri memberikan kuliah kepada pelajarnya. Setelah itu Muallim itu bertanya kepada seluruh pelajarnya yang berada di dalam kuliah tersebut. " Siapa yang tidak faham dengan kuliah saya tadi, sila angkat tangan.". Hampir keseluruhan pelajarnya mengangkat tangan menandakan mereka tidak faham dengan isi kuliah yang disampaikan oleh Muallim mereka. "Baiklah saya akan ulang sekali lagi penerangan saya." lalu Muallim tersebut pun mengulangi kembali kuliahnya. Setelah itu ditanya lagi soalan yang sama kepada pelajarnya. Kali ini separuh pelajarnya yang masih tidak faham. Lalu tanpa putus asa beliau sekali lagi mengulangi kuliahnya buat kali ketiga pada hari tersebut. Kali ini beliau rasa cukup berdebar menanyakan kembali soalan tadi setelah 3 kali menerangkan perkara yang sama kepada pelajarnya. Namun untuk kepastian, beliau bertanya jua pelajarnya dengan nada yang cukup berdebar...



" Erk..Kali ini ada lagi tak yang masih belum faham dengan pembelajaran hari ini?" sambil melihat segenap ratusan pelajar yang berada di depannya itu. Tiada yang mengangkat tangan..Muallim tersebut berasa lega dan berniat menamatkan kuliahnya setakat itu sahaja...Tiba-tiba! Seorang pelajar mengangkat tangannya lalu berkata " Saya masih belum faham Ya Muallim...". Sementelah dengan itu Muallim tersebut terduduk di kerusi. Beliau terdiam seketika lalu tanpa diduga, beliau terasa sebak dan menangis di meja kerusi syarahan tersebut. Seluruh kelas bingit seketika apabila melihatkan suasana tersebut dan masing-masing bertanya kenapa dengan Muallim...
Lalu pelajar terakhir yang mengangkat tangan tadi pun terus meluru mendapatkan Muallimnya.

"Ya Muallim! Maafkan saya kerana telah membuatkan Muallim bersedih dengan ketidakfahaman saya ini"

Lalu Muallim itu berkata kepada pelajarnya itu dengan nada sebak " Kamu tidak bersalah wahai anak didikku. Tetapi akulah yang bersalah kerana disebabkan hatiku yang tidak bersih telah menghijab ilmu itu untuk masuk ke hatimu yang suci bersih itu.." " Oh tidak wahai Muallim yang dihormati lagi dikasihi. Akulah yang bersalah kerana hatikulah yang tidak bersih kerana telah terhijab untuk ilmu itu masuk dan kejap ke dalam dadaku ini Ya Muallim di kala orang lain telah dapat menerima ilmu tersebut sedangkan aku seorang sahaja yang belum dapat menerimanya. Kamu tidak bersalah Ya Muallim..." Muallim itu pula yang berkata... " Tidak! Oh tidak! Aku yang bersalah...Aku yang bersalah.." berterusan begitulah.

Apa yang di dapati dari kisah ini? Masing-masing ada penilaian sendiri. Siapa itu guru?

Reactions:

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes