Thursday, March 17, 2011

RESAH TIADA GELISAH

Amat terkesan dengan kata-kata di dalam lirik lagu Hakikat Bahagia ini. Membuatkan hati rasa begitu bersyukur dengan sekalian nikmat yang diberikan olehNya.




Hakikat hidup di dunia ini setiap insan mengimpikan kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian. Namun hakikatnya yang sebenar ingin di dambakan ialah apabila hati sentiasa tenang apabila mengingati Tuhan yang esa. Kita akan tenang dan bahagia apabila sentiasa meletakkan Allah adalah yang Maha berkuasa serta tiada daya lain yang dapat mengatasinya meskipun manusia juga mempunyai perancangan tersendiri. Bersangka baik dengan Allah. Kita akan di uji sampai suatu masa bagaimana kita ingin merasakan bersangka baik dengan Allah itu adalah indah. Meskipun kita perlu menempuhi apa sahaja yang Allah datangkan kepada kita. Ada ujian kecil, ada ujian besar. Ada sakit ada sihat. Ada duka dan ada gembira...

Segalanya terletak di jiwa kita. Dia mendatangkan apa yang termampu kita hadapi. Dia sekali-kali tidak menzalimi kita. Kita lah sebagai hamba yang perlu memandang apa-apa sahaja ujian dengan pandangan mata hati dan nilaian taqwa. Sungguh Dialah Yang Maha Penyayang, apabila dengan setiap ujian yang Dia datangkan kepada kita, Dia ingin kita kembali rapat dan berdamping denganNya dengan rasa penuh ketenangan dan rasa penuh kehambaan. Sungguh Mulianya Allah. Ya Karim.. Ya Rahman... Ya Rahim... Terkadang kita menginginkan manusia untuk mendengar apa sahaja yang tersirat di dalam hati kita. Padahal Dia lah Tuhan yang pertama-tamanya dan selama-lamanya telah mendengar apa yang kita rintihkan sama ada perlahan, kuat, tersembunyi dan sebagainya.


Syukur kepada Allah!

Setiap kekusutan yang melanda apabila kita sandarkan segala-galanya hanya kepada Allah, kita tidak akan rasa resah, rungsing lagi kerana kita yakin Allah adalah yang hak menentukan yang terbaik selaras dengan usaha yang kita lakukan. Amat payah untuk menjadi si miskin yang bersyukur berbanding menjadi si kaya yang syukur. Amat payah juga menjadi si sakit yang syukur berbanding menjadi si sihat yang bersyukur. Justeru, hati kita perlu sentiasa dididik untuk bersifat sabar dan redha dengan ketentuanNya.

Kita mungkin pernah mengalami zaman-zaman bagaimana payahnya mendapatkan sesuap nasi. Terutama bagi seorang ibu yang terpaksa menyara anak-anak yang ramai tanpa seorang suami di sisi. Hidup susah, perlu mencari kerja untuk menyara anak-anak, menyekolahkan, membayar yuran sekolah, alatan rumah, perkakas dapur, duit belanja anak-anak dan sebagainya. Namun pernah kah dia mengeluh? Tidak sama sekali bahkan apabila datang si miskin meminta tolong, di dahulukan ia dengan rela hati meskipun pada saat itu juga si ibu memerlukan. Ini lah hakikat kesyukuran yang amat payah di tanam dan di praktikkan dalam hidup kita. Apa kah kunci hati si ibu ini? Baginya kecukupan rezeki itu datangnya dari Allah, dan perkongsian rezeki itu akan menambahkan lagi perisa kemanisan dalam hidup. Tidak pernah tergambar resah dan rungsing bahkan sedih jauh sekali untuk meminta-minta simpati. Hidup perlu diteruskan dengan apa cara sekalipun kerana dia yakin dengan ALLAH!. Dengan itu, keadaan 'susah' itu tidak akan terjelas dengan kepayahan zahir apabila hati sentiasa disandarkan pengharapan hanya kepada Allah.

Sesekali Allah memberi rezeki yang tidak termintakan olehnya. Ini lah hikmahnya orang yang sabar dalam berusaha. Allah akan membalas dengan yang setimpalnya. Meskipun ujian-ujian lain juga yang mendatang, harus ditempuh dengan berani dan tidak menyerah kalah. Di setiap malam si ibu tidak pernah berhenti memohon doa dan pengharapan kepada Al-Raja'.. lalu segala nya urusan akan dipermudahkan....


Ujian itu nikmat atau bala?

"Nikmat yang membawa diri kita jauh daripada Allah itu ialah bala, dan bala yang membawa kita dekat dengan Allah itu ialah nikmat".

Sesuatu itu perlu dinilai dengan mata hati barulah ia akan membawa nilaian pasti yang boleh diterima oleh diri dan jasad yang menderita. Bagaimana pula menilai dengan hati ini? Saya bawakan contoh :

Seorang ibu mengirimkan kuih kepada anaknya yang jauh nun di seberang laut sempena Hari Raya. Seorang anak itu boleh menilai kuih yang dihantar itu dengan beberapa nilaian mata atau pandangan.
1. Pandangan mata
2. Pandangan nafsu
3. Pandangan akal
4. Pandangan hati

Pandangan mata - Oh! cantiknya kuih ni
Pandangan nafsu - Emm.. apa lagi lantak la kuih ni! (lalu makan)
Pandangan akal - Berapa banyak tepung digunakan ye nak buat kuih ni, gula, garam...bla bla bla
Pandangan hati - Oh! Mak hantar kuih ni nak kata dia ingatkan aku la tu. Terima kasih mak!

Ini sahaja perkara yang simpel berkaitan kuih. Begitu lah juga dengan perkara-perkara lain yang perlu banyak nilaian mata diperlukan untuk menilai.

Berbalik kepada nikmat itu boleh menjadi bala atau bala itu boleh menjadi nikmat juga adalah dengan nilaian mata hati. Selaku hamba, kita tidak dapat lari dari merasakan ujian itu terlalu berat untuk dihadapi, dan nikmat itu adalah indah untuk dinikmati. Begitu pun, mengungkapkan kenikmatan itu juga adalah ujian buat diri kita. Bagaimana kita ingin merasakan nikmat itu dengan memberi, membantu orang lain dan menyempurnakan kehidupan golongan yang memerlukan? Ini lah ujian nikmat yang perlu di hadapi.

Manakala untuk menjadikan bala atau kepayahan itu suatu nikmat. Kita hanya perlu satu ayat dari Al-Quran "Sesungguhnya bersama kesusahan itu adanya kemudahan..." surah al Syarh ayat 5 dan 6 yang disebut 2 kali. Yakinlah dengan semua itu.. kita perlu hadapi segalanya untuk mendapatkan nikmat dan hikmah yang tidak ternilai!

~Allahu akbar!~

Reactions:

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes