Friday, July 29, 2011

Perjalanan perlu diteruskan...

Saatnya sudah datang untuk meninggalkan SAMPB setelah 10 minggu berkhidmat bersama anak-anak sekolah di sini. Pelbagai memori telah di ukir. Lalu perjalanan tetap jua perlu dilangkahkan. Di sepanjang perjalanan yang Kau bentangkan pelbagai rahmat ini, terdetik di hati ku kini...



Pelbagai memori telah di ukir bersama walaupun seketika sahaja di persinggahan ini. Belum puas untuk menghabiskan masa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan tarbiyah hidup ini. Namun syukur kerana Dia masih memberi ruang untuk bersama dengan anak-anak yang sudi menghuni Usrah Al-Karamah. Lalu tiada yang dapat ku coretkan hanya secebis tinta yang ku tinggalkan untuk mereka dan jua diri ini pegangi.

21 Julai 2011

Alhamdulillah, atas nikmatMu yang Kau limpahkan dan kurniakan yang tidak putus-putus kunjung tiba kepada hamba-Mu ini yang tidak terhitung banyaknya dan tidak terjangkau kehebatannya. Sesungguhnya hanya pada-mu Ya Rabb kurnia ini adalah yang terhebat walaupun aku tidak mampu dan bisa membalasnya dengan apa-apa. Sungguh Kau amat mengasihi hamba-Mu yang kerdil ini. Tidak putus-putus memberi kenikmatan dan ketenangan, kegembiraan dalam jiwa ini. Alhamdulillah…

Ya Allah, Kau jadikanlah mereka mata-mata rantai perjuangan Islam yang bakal menyambung perjuangan Rasul-Mu nanti di muka bumi ini. Sesungguhnya hamba-Mu ini hanya mengharapkan petunjuk dan bimbingan kasih-sayangMu semata agar risalah yang cuba ku tunaikan ini melekat dan menekap ke dalam hati mereka jua kuatkan lah langkahku ini Ya Allah untuk menempuh hari-hariku yang mendatang.

Lalu sebagai tanda kasih-sayang, diri ini hanya mampu tinggalkan secoret kalam buat anak-anak Puteri al-Karamah yang dikasihi untuk dihayati agar kita sentiasa mengingati...


السلام عليكم ورحمة الله...

Puteriku,

Ketahuilah, ukhuwwah itu di bina kerana letaknya di hati. Berpisah itu tidak bermakna kita tidak akan bertemu, Bukan tidak bertemu mata, hati akan turut tidak bertemu. Kita kekal bertemu sentiasa di dalam doa. Usah kau lupakan Doa Rabithah itu kerana ia adalah pengikat hati-hati kita untuk sentiasa berada di jalan ini. Munajatkan rasa kehambaan kita pada setiap bait pengharapan pada-Nya mudah-mudahan kita akan kekal bersatu dan bertemu dalam setiap untaian doa.

Puteri yang dikasihi,

Perjalanan ini masih panjang. Bahkan tiada noktahnya. Saat kau membaca kalam ini perjalanan baru sahaja bermula. Kau harus kuatkan azam, iltizam, dan keyakinanmu pada Allah semata. Allah ialah tujuanmu, Rasul ikutanmu, Al-Quran pedomanmu, Jihad jalanmu dan mati di jalan-Nya adalah cita-cita tertinggimu. Ya! Perjalanan ini banyak pengorbanan yang harus ditempuh. Mengorbankan masa, tenaga hatta jiwa raga sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh umat-umat terdahulu dalam menegakkan Islam di muka bumi ini.Ingatlah! Dirimu ialah mata rantai perjuangan Rasul-Mu dan dirimu terpilih sebagai anak-panah anak panah ini. Maka lontarkanlah dirimu ke mana sahaja kamu berada.

Harapanku,

Semoga kita akan sentiasa bersatu dalam roh kebenaran, dengan akidah yang satu, perjuangan yang satu. Membina ummah yang dirindukan Nabi Muhammad ini memerlukan tenaga dan pengorbanan yang tidak terhitung. Benarlah, tanggungjawab dan amanah itu lebih banyak dari masa yang ada. Teringat kepada kata-kata “ Suatu hari kita akan berhenti bekerja dengan manusia, namun tiada istilah untuk berhenti bekerja dengan Allah kerana perjuangan ini hanya akan berakhir bersama nafas-nafas kita yang terakhir.”

Meskipun kita akan mendapat ijazah di dunia, bagaimana dengan ‘ijazah’ kita untuk menghadap Allah suatu hari nanti? Apa yang ingin kita bekalkan bersama nanti? Oleh itu, teruskanlah melangkah jangan pernah goyah. Kehidupan ini adalah tarbiyah, ujian itu juga adalah tarbiyah dari Allah..bersyukurlah kerana kita masih mengecapinya. Mudah-mudahan sinarnya akan kau temui dan kecapi nanti. Juga Semoga kita akan bertemu ‘di sana’ …. …Rajaana…

Sekian tinta,

Salam penuh kasih-sayang!

Ustazah Maslida Mohamad Suddin

http://intanalmas.blogspot.com

maslida.suddin@gmail.com

0132966213

21 Julai 2011/ 20 Syaaban 1432H

Reactions:

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes