Monday, April 6, 2009

TARBIYAH : KOPAKKAN MINDA!!!





Rata- rata pernah mendengar dan memahami maksud pendidikan. Namun konsep pertarbiyahan berbeza dengan apa yang di katakan pendidikan. Ini kerana dalam konteks sebagai mahasiswa di UM ini, tarbiyah tidak terikat kepada mana-mana individu tertentu sahaja tetapi minda mahasiswa kini perlu dikopak luas untuk memahami konsep tarbiyah itu sendiri.


Mengapa perlunya ada tarbiyah dalam kehidupan seseorang? Apatah lagi sebagai seorang mahasiswa muslim ia tidak dapat tidak lari aspek ini. Janganlah menampakkan bahawa tarbiyah ini jumud, tiada pembaharuan dan tidak selari massa. Dari beberapa aspek tarbiyah dirungkaikan dari segi tarbiyah ruhaniyyah , tarbiyyah aqliyah, jasadiyah , aqliyah dan beberapa aspek lain lagi. Hakikat manusia jiwa perlu sentiasa terdidik dengan peringatan dan inzar dalam kehidupan seharian untuk melengkapkan diri sebagai insan yang berbakti saat demi saat. Kesedaran itu akan lahir apabila kita mengetahui hakikat penciptaan manusia itu sendiri. Allah berfirman yang mana maksudnya:


" Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (al-Baqarah : 30)


Tugas sebenar manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepadaNya dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Menjadi seorang khalifah di bumi adalah tanggungjawab setiap manusia. Tiada terkecuali. Apabila menyedari bahawa manusia menggondol beban yang besar maka persediaan dalam melaksanakan amanah itu juga haruslah sebesar yang ditanggung. Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya :


“Wahai orang-orang yang beriman ! Mahukah aku tunjukkan kepadamu suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” – Assoff ayat 10-11.


Ayat ini ada perkaitan dengan firman Allah dalam ayat yang lain dari Surah at-taubah ayat 111:


“ Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin baik diri mahupun harta mereka . Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh( sebagai janji) yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah kemenangan yang agung.”


Oleh sebab itu jelaslah dari ayat-ayat yang dinyatakan bahawa manusia memegang beban tugas yang amat berat dan amanah yang dipikul oleh orang-orang beriman. Saya tidak berniat untuk menghurai lanjut ayat tersebut tetapi untuk mencapai tahap jihad dan juang menegakkan Islam serta menjadi khalifah dibumi tidak akan lari dari persoalan tarbiyah.


Sebelum kita berbicara lebih lanjut lagi, harus ditekankan bahawa untuk seseorang menerima apa sahaja yang berlaku itu sebagai tarbiyah, kefahaman tentang aqidah dan keteguhan terhadapnya perlulah tidak dapat digoyah lagi. Kenapa? Dari aqidah islamiyyah ini akan tercetusnya kebergantungan kepada allah, merasa redha atas ujian yang melanda serta berasa berdosa andaikata kembali mengadap Allah di hari qiamat tanpa membawa pulangan yang berlipat kali ganda. dan dalam keadaan tenteram setelah menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Lalu apakah sumbangan yang kita boleh sumbangkan untuk Islam? Dari segi aqliyah atau pemikiran , asakan kefahaman perlu untuk dijadikan sebagai salah satu momentum ke arah kegemilangan orang islam meneroka, mengatur strategi terhadap musuh, mempertahankan hujah serta menepis segala cara pemikiran yang salah yang tersasar dari Al-Quran dan As-sunnah.


Tarbiyah tidak dapat didefinisikan secara holistic. Namun penterjemahannya sememangnya telah teratur dalam kehidupan manusia sendiri. Di kampus ini, skop pentarbiyahan teramat-amat luas. Namun mahasiswa lebih tertumpu untuk menerima tarbiyah fikriyyah sahaja iaitu dengan menghadiri kuliah, tutorial, siapkan tugasan sepanjang sesi, discussion dan segala-galanya yang berkaitan dengan pembangunan fikriyyah secara skop yang teramat kecil. Mengapa ditinggalkan aspek tarbiyah yang lain? Kepentingan untuk meneroka dan menerima tarbiyah jasadiyyah, tarbiyah, aqliyyah, ruhaniyyah termasuk tarbiyyah fikriyyah ini masih di tahap yang rendah. Apa salahnya jika sesekali meneroka ilmu lain yang penting sebagai seorang muslim iaitu ilmu tentang organisasi Islam, kenapa perlunya terlibat dengan organisasi Islam, mengapa perlu menolak kebatilan yang terang dan tersenbunyi. Sense untuk itu semua masih di tahap yang membimbangkan. Malang lagi apabila orang islam sendiri yang menolak kebaikan yang ingin dilakukan. Lalu adakah kita masih ingin duduk diam seperti hari ini?


Justeru tebar-tebarkanlah diri untuk menjejak pendokong kebenaran yang semakin hari semakin lesu dan sedikit sahaja golongan yang mahu dan sanggup memikulnya. Usaha perlu diperkasa agar mata rantai perjuangan Islam tidak akan terhenti di Universiti Malaya ini.


Wallahua’lam.

0 comments:



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes