Sunday, November 15, 2009

INSPIRASI WANITA

Duhai wanita…

Terdetik pula nak melakar sedikit harapan, dan inspirasi sebagai seorang wanita. Sebelum ni tak pernah sentuh lagi pasal wanita dalam lakaran minda ini. Mungkin dah sebab rasa ‘besar’ kot. Hehe… Sungguhpun dalam setiap penciptaan langit dan bumi ada hikmah yang tersembunyi. Begitu juga penciptaan manusia yang bergelar seorang wanita. Catatan ini ditujukan buat diri sendiri jua yang bisa mengatur kata-kata namun MUJAHADAH yang selalu diminta untuk melaksanakannya. Juga buat yang membaca semoga mendapat sedikit manfaat. insyaAllah. (mcm nak tulis buku pulak haha)

Buat seorang yang bernama wanita…

Lengkapkan dirimu dengan Saqofah. Saqofah syara’iyyah dan saqofah ma’siroh. Saqofah syaraiyyah ialah yang berkaitan basic sebagai seorang muslim seperti hal-hal fardhu ain dan juga yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak. Kita boleh melihat contoh Saidatina Aisyah yang cukup cerdik dan cerdas dalam mengeluarkan fatwa. Ini semua didasarkan ilmu yang dimilikinya. Beliau tidak mungkin dapat megeluarkan fatwa sekiranya tidak mengetahui keadaan realitinya pada masa itu. Betapa berjasanya Aisyah pada masyarakat sehingga beliau adalah antara orang yang menjadi rujukan dalam perkara-perkara berkaitan hal-ehwal masyarakat dan hukum hakam. Serta beberapa lagi tokoh wanita seperti Fatimah az-Zahra , dan Asma’ binti Abu Bakar.

Justeru, kedua-dua aspek ilmu atau saqofah yang disebutkan tadi penting dalam menjana ummah yang berkualiti. Seorang wanita perlu terlebih dahulu memahami deennya sendiri tentang asas-asas seorang muslim dan dilengkapkan pula dengan saqafah ma’siroh iaitu keilmuan tentang keadaan realiti masyarakat masa kini. Orang yang tidak mengetahui atau tidak sedar tentang keadaan masyarakatnya adalah ibarat yang ‘jahil’ walaupun dia berpelajaran tinggi manapun. Dan orang yang berpelajaran tinggi manapun jika tidak turun ke lapangan masyarakat hanya mensia-siakan apa yang telah didapatinya. Oleh itu juga wanita mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat. Dalam membentuk masyarakat, seorang wanita memainkan peranan yang teramat penting. Umpamanya jika sudah bersuami dan sang suami adalah penggerak kepada gerakan dakwah maka si isterilah yang akan menjadi pendorong paling utama kepadanya. Jika berkelapangan si isteri juga boleh turun bersama-sama dengan suami dalam menjayakan misi mengajak manusia ke arah kebaikan.

Saya begitu tertarik dengan peribadi isteri yang begitu dikasihi dan di cintai oleh Rasulullah iaitu Saidatina Khadijah. Pemergiannya diratapi nabi kerana beliaulah satu-satunya wanita yang dikala orang lain mendustakannya dia membenarkan, dan Khadijah lah orang pertama yang menjadi pendamping kepada nabi saat wahyu pertama telah diturunkan. Rasulullah berkata “ Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku di kala orang lain mengingkariku, dia membenarkanku di kala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku di kala orang lain menghalangiku dan Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya kala aku tidak dapat daripada perempuan-perempuan lain ( isteri-isteriku )”. Untuk ikuti lanjutan peribadi Khadijah insyaalah saya akan kongsikan dalam entri yang lain pula. Insyaalah.(jika berkesempatan)

Kita menelusuri pula perjuangan wanita yang berjiwa kental seperti Zainab Al-Ghazali. Di saat beliau diperisterikan dengan suaminya yang merupakan seorang ulama’ di masa itu, beliau telah mengatakan “"Hak saya untuk membuat syarat kepada engkau supaya tidak menghalang saya untuk berjihad di jalan Allah S.W.T, di mana saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya." Dia memperingatkan suaminya lagi, "Sekiranya berlaku pertembungan di antara perkahwinan dengan dakwah, akan berakhir perkahwinan dan

kekal dakwah kepada Allah S.W.T. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa kepada Allah S.W.T supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah S.W.T."

Selain itu juga wanita amat berharga dalam membina keluarga yang bahagia. Disebabkan itu juga dalam pemilihan seorang isteri juga di letakkan agamanya terlebih dahulu yang menjadi ukuran. Setiap lelaki menginginkan wanita yang solehah dan begitu juga wanita menginginkan lelaki yang soleh yang akan sama-sama menuju ke arah syurga abadi. Dan alangkah indahnya andai di dunia dapat bersama di akhirat jua dapat bersama. Namun itu masih terlalu sukar untuk di realisasikan. Tapaknya adalah iman yang bengkam utuh di dasar jiwa kedua-dua hamba. Berbalik kepada persoalan wanita yang mempunyai tanggungjawab dan amanah menjaga kerukunan rumahtangga. Bukan sahaja seorang wanita itu perlu menguruskan suami sahaja, tetapi juga rumah dan tangga nya sekali. Apabila lahirnya cahaya mata, bertambah lagi amanah seorang isteri menjadi seorang ibu dan seorang pendidik. Oleh itu wanita perlu lah telah terbiasa dengan keadaan susah. Bagaimana melihat suatu peristiwa puteri kesayangan baginda Rasulullah S.A.W, Fatimah az-Zahra yang semua memaklumi suaminya adalah Saidina Ali R.A yang gemilang dengan peribadinya. Sebagai seorang isteri, Fatimah menguruskan hal-ehwal rumahtangganya. Memasak, mengemas dan seumpamanya. Sehinggakan Ali begitu kasihan melihat keadaan isterinya itu yang bersusah-payah menguruskan hal-ehwal rumahtangga. Lalu Ali mencadangkan agar apabila Fatimah berjumpa dengan ayahnya untuk meminta seorang pembantu rumah untuk meringan kan beban yang ditanggung oleh Fatimah. Suatu hari Fatimah mendatangi Rasulullah S.A.W untuk menyatakan hasratnya itu tapi Baginda ketika itu sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang sahabatnya. Fatimah berasa malu dan terus pulang ke rumahnya. Rasulullah telah menyedari kehadiran puteri kesayangannya itu maka baginda pun ke rumah Ali dan Fatimah untuk berjumpa dengan mereka.

Rasulullah bertanya tentang tujuan kedatangan Fatimah ke rumah baginda tempohari lalu Ali menyatakan “ Saya ingin memberitahu kepadaMu wahai Rasulullah bahawa Fatimah selalu melakukan tugasan mengangkat air sehingga dadanya berasa sakit, suka menggiling lada dengan penggiling sehingga memberi kesakitan kepada tangannya, membersihkan rumahnya sehingga bajunya berdebu dan menyalakan api sehingga pakaiannya kotor. Saya telah mencadangkan agar berjumpa denganmu dan meminta seorang pembantu supaya dia tidak kepenatan lagi.”. Kemudian Rasulullah berkata : “Kalian hendak aku mengajarkan tentang sesuatu yang lebih baik bagi kalian jika dibandingkan dengan seorang pelayan? Apabila kamu hendak masuk tidur, bacalah tasbih sebanyak 33 kali, tahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 34 kali. Semuanya berjumlah seratus dalam ucapan dan seribu kebaikan dalam timbangan.” Fatimah lalu berkata “ Aku sangat senang dengan apa-apa yang datang daripada Allah dan RasulNya.”

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa ketika Fatimah menceritakan hasratnya kepada Rasulullah, baginda telah menangis dan berkata “ Wahai Fatimah! Demi Allah yang telah mengutuskan aku dengan kebenaran. Sesungguhnya di dalam masjid terdapat 400 manusia yang tidak mempunyai pakaian dan makanan. Jika aku tidak gentar dengan kayu yang berduri pasti aku akan berikan seorang pembantu kepada kamu. Tetapi Fatimah aku tidak mahu pahala kamu beralih kepada seorang pembantu dan aku bimbang Ali bin Abi Talib sewaktu kiamat kelak, Allah akan bermusuhan denganmu jika Ali meminta haknya daripada kamu.” Kemudian baginda mengajarkan kepada Fatimah solat tasbih.

Pernah suatu hari Rasulullah telah mendatangi kepada mereka dan baginda melihat Fatimah dan Ali sedang sama-sama menggilingkan biji-bijian. Rasulullah bertanya siapakah diantara kalian yang menghaluskannya di antara mereka berdua. Dan Ali memberitahu bahawa Fatimah lah yang telah melakukannya. Lalu baginda meminta Fatimah untuk bangun lalu baginda mengambil tempat Fatimah untuk menggiling pula.

Subhanallah! Barakahnya rumahtangga dalam keadaan begini. Mudah-mudahan kisah-kisah wanita yang dipaparkan akan dapat menjadi inspirasi kepada wanita untuk menjadi wanita yang unggul dalam menerajui ummah akan datang. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia dengan buaian takwa dan keimanan yang padu persis Masyitah yang rela terjun bersama bayinya ke dalam minyak panas semata-mata mempertahankan keimanannya dari cengkaman Haman dan Firaun. Juga persis Sumaiyah wanita pertama yang syahid mempertahankan keimanan yang mendalam kepada Allah dalam jiwanya. Juga persis wanita-wanita idaman Syurga yang harumnya melewati haruman Firdausi. Kekal menjadi INSPIRASI.

Wallahua’lam

~BE INSPIRED!~

0 comments:



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes